Myprincess Diaries: selaput mata

selaput mata


 

Penyakit selaput mata pada kanak-kanak juga dikenali sebagai penyakit katarak kongenital dalam bahasa perubatan. Katarak kongenital ialah satu keadaan di mana kanta mata yang asalnya bersifat jernih dan lut cahaya telah bertukar menjadi keruh dan keadaan ini dikesan selepas kelahiran.

Kanta mata berfungsi untuk memfokus cahaya yang masuk ke dalam mata dan membentuk imej pada retina. Penyakit katarak menghalang cahaya masuk ke dalam mata dan menyebabkan imej yang kabur terhasil pada retina mata.

Penyakit ini boleh menjejaskan penglihatan pesakit dan boleh menyebabkan pesakit menjadi buta sekiranya tidak dirawat dari peringkat awal lagi. Katarak kongenital boleh berlaku pada satu mata sahaja ataupun melibatkan kedua-dua belah mata. Penyakit ini juga berlaku tanpa mengira jantina lelaki ataupun perempuan.

Mereka yang mempunyai sejarah keluarga penyakit ini juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mewarisinya. Katarak kongenital dilaporkan berlaku antara satu hingga enam kes dalam setiap 10,000 kelahiran di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun tidak terdapat data yang lengkap tentang insiden kes-kes katarak kongenital di negara lain di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan jumlah kes katarak kongenital mungkin dikesan dalam jumlah yang lebih tinggi di negara-negara sedang membangun.

Punca

Keadaan katarak kongenital yang berlaku pada satu mata sahaja merupakan kes jarang-jarang berlaku. Pesakit yang mengalami katarak kongenital pada satu mata sahaja biasanya turut mengalami kecacatan kongenital mata yang lain seperti keabnormalan struktur hadapan mata, keabnormalan struktur primer vitreous (gelemaca) dan satu keadaan dikenali sebagai lentikonus posterior.

Pesakit yang mengalami masalah katarak kongenital pada kedua-dua belah mata pula biasanya mempunyai sejarah keluarga penyakit katarak kongenital serta beberapa penyakit yang lain. Antaranya ialah kelahiran pramatang dan jangkitan kuman semasa dalam kandungan seperti rubella, syphilis, toxoplasmosis dan herpes.

Gangguan metabolik seperti hypoglisemia, hyperglysemia, hypokalsemia dan galaktosemia turut menyebabkan berlakunya penyakit katarak kongenital. Pesakit yang mengalami penyakit seperti sindrom Down, sindrom Edward dan sindrom Patau juga dilaporkan berisiko mendapat penyakit katarak kongenital.

Tanda-tanda

Penyakit katarak kongenital boleh dikesan seawal bulan pertama kelahiran. Antara tanda awal ialah anak mata hitam kelihatan berwama putih. Keadaan ini boleh berkekalan untuk satu tempoh masa yang lama atau menjadi lebih serius secara perlahan-lahan.

Keadaan ini menyebabkan penglihatan kanak-kanak berkenaan menjadi kabur dan terhad. Mereka juga sukar untuk mengenali objek yang kecil dan halus. Kanak-kanak dengan masalah ini menunjukkan gejala silau pada cahaya matahari dan perkembangan fizikal yang perlahan berbanding kanak-kanak normal yang lain.

Sekiranya mata kanak-kanak menjadi juling dan keadaan bola mata yang bergerak-gerak (nystagmus), ini menunjukkan penyakit katarak kongenital berada pada peningkat yang kritikal.

Komplikasi

Penglihatan kanak-kanak yang kabur ini sebenarnya mengganggu perkembangan otak. Umur sekitar empat bulan hingga dua tahun pertama sangat kritikal untuk perkembangan mata dan otak kanak-kanak.

Input visual yang dilihat akan dihantar ke otak bagi membolehkan kanak-kanak mengenali pelbagai jenis objek. Sekiranya proses ini terganggu, kanak-kanak itu tidak dapat mengenali objek yang dilihat kerana bahagian otak yang berperanan mengawal deria penglihatan tidak berkembang dan berfungsi dengan baik.

Fenomena ini juga dikenali sebagai amblyopia atau mata malas. Kanak-kanak dengan masalah ini hanya boleh mengenali objek yang besar dan ini akan mengganggu proses pembelajaran terutamanya kebolehan menulis dan membaca.

Kaedah Rawatan

Kanak-kanak yang mengalami gejala klinikal seperti yang dinyatakan perlu menjalani pemeriksaan yang menyeluruh oleh doktor pakar mata. Pesakit yang mengalami gangguan penglihatan yang serius pula mungkin perlu menjalani pembedahan.

Bagi pesakit yang mengalami gangguan penglihatan yang minimum pula, mereka perlu mendapatkan pemeriksaan pakar mata secara berkala bagi memastikan keupayaan penglihatan berada pada tahap yang memuaskan.

Pembedahan katarak perlu dilakukan pada peringkat awal bagi mengelakkan risiko pesakit menjadi buta. Kanta mata tiruan juga mungkin perlu dimasukkan ke dalam mata semasa pembedahan bagi menggantikan kanta mata asli yang telah bertukar menjadi keruh. Antara pilihan selain pembedahan ialah kanta sentuh atau cermin mata bagi menggantikan fungsi kanta mata asal.

Kanak-kanak yang telah menjalani pembedahan katarak juga akan memerlukan pemeriksaan lanjut oleh pakar mata dari semasa ke semasa. Perkara ini penting bagi memastikan pesakit dapat melihat dengan baik selepas pembedahan.

Salah Anggapan Masyarakat

Masyarakat kita biasanya mempunyai tanggapan yang salah mengenal penyakit katarak kongenital. Antaranya ialah:
  • Pembedahan katarak menyebabkan mata buta
  • Tunggu hingga kanak-kanak membesar terlebih dahulu sebelum diberi rawatan atau pembedahan
  • Tiada rawatan yang khusus untuk merawat penyakit ini
Anggapan bahawa pembedahan katarak menyebabkan mata menjadi buta adalah salah sama sekali. Pembedahan katarak boleh mengembalikan penglihatan pesakit ke tahap yang lebih baik dan ia perlu dilakukan seawal selepas diagnosis dibuat.

Sekiranya pembedahan dibuat selepas pesakit menunjukkan tanda-tanda ambylopia, keupayaan melihat pesakit bukan lagi berada pada tahap yang maksimum.

Pesakit mungkin perlu menjalani rawatan lanjut bagi rnengatasi masalah amblyopia. Sikap menunggu sehingga kanak-kanak membesar terlebih dahulu juga perlu dihindari sebelum pesakit mencapai tahap amblyopia dan keupayaan melihat yang terhad ini akan berkekalan sepanjang mereka membesar sehingga dewasa. Keadaan ini akan menjadi lebih parah sekiranya pesakit turut tidak menjalani sebarang rawatan untuk masalah amblyopia.

Penyakit katarak kongenital kini boleh dirawat menggunakan cara rawatan dan teknologi moden. Anggapan bahawa tiada rawatan khusus untuk penyakit ini adalah amat tidak tepat. Rawatan ini disediakan oleh semua hospital kerajaan dan swasta yang mempunyai kepakaran dalam bidang oftalmologi di seluruh Malaysia.

Peranan ibu bapa

Para ibu bapa dan penjaga memainkan peranan yang sangat penting dalam diagnosis awal dan rawatan yang tepat untuk penyakit ini.

Segeralah membawa anak berjumpa doktor pakar mata sekiranya mengalami gejala seperti yang dinyatakan di atas. Penyakit katarak kongenital boleh dirawat dan tidak seharusnya dibiarkan sehingga menyebabkan pesakit menjadi buta.

Rawatan awal amat penting bagi membolehkan pesakit mempunyai keupayaan melihat yang baik dan jelas sepanjang pembesaran mereka dan apabila dewasa kelak. Budaya 'tunggu dulu' dan 'tidak apa' juga perlu dikikis dari masyarakat kita. Anak-anak kita berhak membesar dengan penuh keriangan dan keceriaan.

Oleh itu, janganlah kita sebagai ibu bapa membiarkan mereka membesar dalam dunia yang penuh kegelapan.

 

Mekasih sudi baca^^ komen yea!!!

0 komen disini:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

♥ Copyright © 2013 reserved to Myself. Template Edited by Cik Rose Cute